Pindaan Ordinan Cuti Umum tekankan hak pekerja, kepentingan komuniti pedalaman

KUCHING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Datuk Nicholas Kudi Jantai menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Ordinan Cuti Umum (Pindaan) 2026 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Beliau berkata pindaan tersebut merupakan langkah tepat bagi memperkemas dan memodenkan ordinan yang telah berkuat kuasa sejak 1958 agar lebih jelas, praktikal serta selaras dengan keperluan semasa rakyat dan pentadbiran Sarawak.

Menurut beliau, walaupun pindaan itu kelihatan kecil dari sudut perundangan, kesannya besar kepada kehidupan rakyat khususnya pekerja, keluarga di kawasan pedalaman serta komuniti yang masih mengekalkan adat dan budaya.

Ujarnya lagi, pindaan terhadap Seksyen 3 yang memperjelas penggantian cuti umum apabila jatuh pada hari Ahad akan memberikan kepastian kepada pekerja, majikan dan pihak pentadbiran dalam merancang urusan masing-masing.

“Cuti umum bukan sekadar tarikh dalam kalendar, tetapi memberi ruang kepada pekerja untuk berehat, keluarga berkumpul dan anak-anak yang bekerja di luar kawasan untuk pulang ke rumah panjang,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Beliau turut menyokong pindaan berkaitan penyusunan semula jadual cuti umum yang akan mewujudkan satu jadual lebih tersusun serta menghapuskan kekeliruan akibat penggunaan sistem dua jadual sebelum ini.

Katanya, langkah tersebut akan memudahkan rujukan, penguatkuasaan serta membolehkan pindaan jadual dibuat dengan lebih cekap melalui pewartaan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Dalam perbahasan itu, beliau turut menarik perhatian terhadap realiti masyarakat di kawasan luar bandar seperti Baleh dan Kapit yang bergantung kepada perancangan perjalanan jauh untuk pulang ke rumah panjang.

Beliau berkata perjalanan ke kawasan pedalaman seperti Sungai Mujong, Sungai Gaat dan Sungai Baleh memerlukan masa serta perancangan rapi berikutan faktor jarak, sungai dan keadaan cuaca.

“Kepastian berkaitan cuti umum amat penting terutama ketika sambutan perayaan seperti Hari Gawai Dayak kerana ramai anak Sarawak yang bekerja di bandar seperti Kuching, Sibu dan Bintulu perlu merancang kepulangan lebih awal.

“Selain aspek sosial dan budaya, beliau berkata cuti yang lebih tersusun turut berpotensi memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan melalui peningkatan aktiviti pelancongan domestik,” ujar beliau.

Katanya, tempoh cuti yang lebih panjang boleh membuka peluang kepada pengusaha homestay, pengusaha bot penambang, peniaga kecil serta pengusaha makanan di Baleh dan Kapit untuk meningkatkan pendapatan.

Nicholas menegaskan pindaan tersebut selaras dengan aspirasi Sarawak Maju di bawah pentadbiran Kerajaan Sarawak yang menekankan pembangunan seimbang antara kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Beliau berharap pelaksanaan Rang Undang-Undang Ordinan Cuti Umum (Pindaan) 2026 akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak melalui sistem cuti umum yang lebih jelas, teratur dan responsif terhadap keperluan masyarakat.

Related Posts

Cuti gantian lebih jelas, pekerja dapat rancang urusan – Mohamad Duri

KUCHING – Kepastian mengenai hari cuti gantian bukan sekadar soal pentadbiran, sebaliknya penting bagi memastikan pekerja dapat merancang komitmen peribadi dan keluarga tanpa kekeliruan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Polis lepas tembakan amaran ketika tangkap suspek samun, cubaan rogol

TAWAU – Polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ketika operasi menangkap seorang suspek kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita berumur 18 tahun di Kampung Titingan, di sini, pada 9…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Malaysia pertahan prinsip keadilan, tolak penjajahan Palestin – PM

Malaysia pertahan prinsip keadilan, tolak penjajahan Palestin – PM

Kerajaan Persekutuan, negeri perlu jadikan Waad Nasional landasan kerjasama – PM

Kerajaan Persekutuan, negeri perlu jadikan Waad Nasional landasan kerjasama – PM

Pindaan Ordinan Cuti Umum tekankan hak pekerja, kepentingan komuniti pedalaman

Pindaan Ordinan Cuti Umum tekankan hak pekerja, kepentingan komuniti pedalaman

Cuti gantian lebih jelas, pekerja dapat rancang urusan – Mohamad Duri

Cuti gantian lebih jelas, pekerja dapat rancang urusan – Mohamad Duri

Polis lepas tembakan amaran ketika tangkap suspek samun, cubaan rogol

  • By Fatin
  • October 14, 2026
Polis lepas tembakan amaran ketika tangkap suspek samun, cubaan rogol

Belanjawan 2027: Kebajikan OKU, pendidikan khas, keluarga, pesawah terus dibela – Rohani

Belanjawan 2027: Kebajikan OKU, pendidikan khas, keluarga, pesawah terus dibela – Rohani