
KUCHING – Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM680 juta bagi pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) pada 2026 sebagai antara langkah membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan bersasar itu bertujuan menyokong kuasa beli rakyat, khususnya isi rumah yang memerlukan, di samping melengkapi inisiatif bantuan sedia ada.
Menurutnya, kerajaan negeri turut meneruskan pemberian diskaun 25 peratus bagi bil elektrik isi rumah, selain pelbagai inisiatif Kerajaan Persekutuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi diesel bersasar di bawah BUDI MADANI.
Beliau berkata, kadar inflasi di Sarawak mencatatkan purata 0.7 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026 dan diunjurkan berada antara satu hingga 1.5 peratus bagi keseluruhan tahun ini.
“Langkah bantuan dan intervensi yang dilaksanakan bertujuan mengurangkan tekanan perbelanjaan isi rumah serta membantu rakyat menghadapi peningkatan kos keperluan harian,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Isnin.
Dalam aspek pasaran buruh, Premier Abang Johari turut memberitahu bahawa Sarawak turut merekodkan kadar pengangguran purata sebanyak 3.4 peratus tahun ini.
“Prestasi itu disokong permintaan tenaga kerja yang berterusan dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan,” tambah Abang Johari.
Foto: UKAS







