
KUCHING – Kerajaan Sarawak menyemak naik unjuran hasil negeri bagi 2026 kepada RM13.571 bilion, meningkat RM552 juta atau empat peratus berbanding anggaran asal RM13.049 bilion.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan itu antaranya didorong oleh kenaikan Pemberian Khas Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion yang berkuat kuasa tahun ini.
Beliau berkata, kutipan hasil negeri sehingga September 2026 mencecah RM10.732 bilion, bersamaan 82 peratus daripada sasaran tahunan.
Menurutnya, Cukai Jualan Negeri (SST) menjadi penyumbang terbesar dengan kutipan RM3.941 bilion, khususnya daripada produk petroleum dan minyak sawit mentah (CPO).
“Kutipan itu diikuti pampasan tunai berkaitan hak minyak dan gas berjumlah RM2.334 bilion serta pendapatan dividen sebanyak RM2.147 bilion.”
“Prestasi kutipan hasil ini mencerminkan kedudukan kewangan negeri yang perlu terus diurus secara berhemah bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya pada Persidangan Hari Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Isnin.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu bahawa perbelanjaan biasa negeri bagi 2026 disemak kepada RM14.348 bilion.
“Bagi perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM5.604 bilion atau kira-kira 58 peratus daripada peruntukan RM9.663 bilion telah dibelanjakan sehingga September lalu,” katanya.
Menurutnya, peruntukan pembangunan berkenaan merangkumi usaha meneruskan pelaksanaan projek pembangunan dan prasarana bagi memenuhi keperluan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak

