
KEPUTUSAN penutupan sekolah akibat jerebu perlu diumumkan secara harian kerana ia faktor tidak boleh dijangka, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, bagaimanapun segala pandangan ibu bapa berhubung keputusan tersebut diteliti dan diambil maklum.
“Ada yang mencadangkan supaya sekolah ditutup terus untuk beberapa hari bagi memudahkan urusan keluarga.
“Saya memahami keresahan ini. Sebab itu, saya telah meminta supaya keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persediaan.
“Dalam membuat keputusan ini, kita perlu memahami bahawa bacaan IPU (indeks pencemaran udara) boleh berubah mengikut masa dan lokasi. Justeru, penutupan sekolah perlu mengambil kira keadaan semasa di setiap kawasan,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Fadhlina turut menyatakan pengurusan pelajar terutamanya di asrama akan dilaksanakan lebih cermat dan teliti.
“Pengalaman COVID-19 juga mengajar kita betapa besarnya kesan gangguan persekolahan terhadap pembelajaran anak-anak. Sehingga hari ini, usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan. Masa pembelajaran yang hilang bukan mudah untuk diganti, apatah lagi kemudahan PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) tidak sama bagi setiap murid.
“Bagi murid asrama, selepas ini mereka disarankan untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu selagi keadaan selamat dan kebajikan terjamin. Kita tidak mahu ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan akan terus memantau keadaan melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pusat Pendidikan Daerah serta memperbaiki penyampaian maklumat kepada ibu bapa.
“Terima kasih kepada semua ibu bapa atas pandangan dan kesabaran sepanjang kita berdepan situasi ini,” katanya.








