
KERAJAAN disaran menubuhkan badan khas bagi memantau perbelanjaan pembangunan setiap kementerian bagi mengelakkan masalah terlebih belanja dan kegagalan menggunakan peruntukan sepenuhnya.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pemantauan itu perlu bagi memastikan peruntukan kerajaan dibelanjakan secara berkesan dan mengikut keperluan sebenar.
Beliau berkata, langkah itu juga penting bagi mengelakkan masalah seperti dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berbelanja melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion sebelum ini.
Katanya, keadaan itu turut menimbulkan persoalan apabila ramai kontraktor dilaporkan tidak menerima bayaran walaupun kerja sudah disiapkan.
Pada masa sama, beliau berkata, badan khas berkenaan juga boleh memantau kementerian yang gagal membelanjakan peruntukan sepenuhnya sehingga wang terpaksa dipulangkan kepada Perbendaharaan pada penghujung tahun.
“Dalam satu mesyuarat pasca Kabinet ketika saya berkhidmat di Kementerian Pendidikan (KPM) dahulu, saya terkejut apabila dimaklumkan kementerian itu memulangkan sejumlah wang yang tidak dibelanjakan kepada Perbendaharaan.
“Jumlahnya agak besar,” katanya menerusi kenyataan mengenai cadangan penambahbaikan menjelang Belanjawan 2027.
Mohd Puad berkata, pengalaman melawat sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak sebelum ini turut menimbulkan persoalan apabila permohonan menaik taraf sekolah daif sering berdepan alasan kekurangan peruntukan.
Ujarnya, keadaan itu dilihat bercanggah apabila pada masa sama terdapat wang yang tidak dibelanjakan sehingga perlu dipulangkan kepada Perbendaharaan.
“Apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah disebabkan birokrasi, sistem maklumat yang tidak tepat, little Napoleon dalam kementerian, tidak peka atau malas?
“Ini antara isu yang perlu ditangani dalam Belanjawan 2027,” katanya.


