
KUALA KURAU – Sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran sah yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan terlarang, bubu naga, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) bersama tiga warga Myanmar di perairan barat laut Pulau Pasir Hitam, Perak pada Ahad.
Penahanan kira-kira jam 10.50 pagi itu dilakukan oleh anggota Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau pada kedudukan kira-kira 4.3 batu nautika barat laut pulau berkenaan menerusi operasi penguatkuasaan di perairan negara.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pemeriksaan mendapati bot fiber berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran yang sah, selain disyaki digunakan untuk aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap tiga kru warga Myanmar turut mendapati mereka disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.
“Bot fiber bersama ketiga-tiga kru kemudiannya dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 berhubung penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan, selain Akta Imigresen 1959/63 berkaitan dakwaan ketiadaan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan perikanan haram, penggunaan peralatan tangkapan terlarang dan pelanggaran undang-undang imigresen di perairan negara.
Usaha berterusan itu penting bagi memastikan pematuhan undang-undang serta membendung aktiviti yang boleh menjejaskan pengurusan sumber perikanan dan keselamatan perairan negara.
Foto: Maritim Malaysia



