
MIRI – Cadangan pemasangan penghadang jalan di Lorong Tunku Abdul Rahman (LTAR) 3 di sini, dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya susulan kejadian kemalangan maut di lokasi berkenaan minggu lepas.
Wakil Pusat Khidmat Parlimen Miri, Raymond Tegang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan cadangan itu dikemukakan selepas pihaknya menerima permohonan daripada orang awam yang bimbang terhadap risiko keselamatan di laluan berkenaan.
“Cadangan pemasangan penghadang jalan atau concrete barrier itu tertumpu di laluan utama yang menghubungkan pusat bandar Miri dan Everwin ke Taman Tunku.
“Laluan berkenaan merupakan kawasan tumpuan trafik yang mempunyai akses keluar masuk secara terus ke kawasan perumahan serta deretan premis perniagaan berhampiran,” katanya.
Pemasangan penghadang jalan dilihat sebagai langkah pencegahan bagi mengawal pergerakan trafik, selain menghalang pemandu daripada melakukan tindakan berbahaya seperti memotong atau melintasi garisan berkembar.
Ujarnya lagi, inisiatif itu juga penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya serta menjamin keselamatan penduduk setempat dan pengguna yang melalui laluan berkenaan setiap hari.
Sehubungan itu, Pusat Khidmat Parlimen Miri berharap Jabatan Kejuruteraan MBM dapat turun padang bagi menjalankan penilaian teknikal di lokasi terbabit serta mempertimbangkan cadangan berkenaan sewajarnya.
Pihaknya turut menegaskan komitmen untuk terus mendengar pandangan dan cadangan masyarakat Miri dalam usaha mengenal pasti langkah penambahbaikan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan penduduk setempat.



