
MENTERI Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari akan mengadakan pertemuan dengan Olahraga Malaysia bagi memperkukuh latihan serta kompetensi pegawai teknikal susulan kontroversi pertandingan lumba jalan kaki 800 meter membabitkan atlet cilik.
Beliau berkata, pihak penganjur dan panel hakim perlu memberikan penjelasan secara terbuka berhubung keputusan pertandingan yang berlangsung pada 14 November lalu di Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menurutnya, beliau sudah menonton rakaman video kejohanan Junior Development Programme (JDP) Siri 3 itu dan memahami kekecewaan ibu bapa yang terlibat.
“Saya mahu penganjur dan panel hakim memberi penjelasan terbuka kepada atlet dan ibu bapa. Atlet dan ibu bapa berhak untuk tahu bagaimana keputusan itu dibuat,” katanya menerusi hantaran di Threads pada Ahad.

Taufiq menjelaskan, kejohanan berkenaan dianjurkan Persatuan Lumba Jalan Kaki Malaysia dengan kerjasama Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan, bukannya anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, persiapan berkenaan penting memandangkan acara Half Marathon Race Walk bakal dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 dan pegawai teknikal negara perlu mempunyai kompetensi mencukupi.
Kontroversi itu tercetus selepas rakaman video pertandingan lumba jalan kaki 800 meter berkenaan tular di media sosial, sekali gus mengundang kritikan orang ramai.
Rakaman itu mencetuskan persoalan apabila seorang peserta didakwa tidak mematuhi teknik lumba jalan kaki yang ditetapkan, namun dikatakan muncul sebagai pemenang.
Malah, seorang pengguna Threads turut menggesa keputusan kejuaraan berkenaan dibatalkan dan mempersoalkan mengapa tindakan menarik balik pingat tidak boleh dilaksanakan seperti dalam pertandingan peringkat antarabangsa.


