
SIBURAN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberi bayangan bahawa gelanggang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berkemungkinan dibuka seawal tahun hadapan atau selewat-lewatnya pada awal 2028.
Biarpun tarikh sebenar masih belum dapat dipastikan, beliau menjelaskan jangkaan tersebut bersandarkan pemerhatiannya sendiri terhadap perkembangan semasa ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Bidayuh di Dewan Kampung Sinjok pada Ahad.
“Saya berpandangan pilihan raya umum perlu diadakan paling lewat pada awal 2028, tetapi berdasarkan pengamatan saya sendiri dijangka berlangsung mungkin tahun depan,” katanya.
Mengaitkan unjuran itu dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, Fadillah berkata pertaruhan kali ini bukan sekadar bertujuan membentuk kerajaan negeri semata-mata, malah menjadi medan penentu hala tuju kepimpinan Malaysia pada masa hadapan.
Beliau merujuk detik penubuhan kerajaan Perpaduan sebagai bukti bagaimana Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap tampil memainkan peranan penting dalam menentukan teraju Kerajaan Persekutuan walaupun hanya diwakili kelompok kerusi lebih kecil iaitu 23 Ahli Parlimen ketika itu.
Bertitik tolak daripada pengalaman berkenaan, beliau menegaskan mandat besar kepada GPS pada PRN kali ini amat dituntut bagi meletakkan gabungan itu pada kedudukan kukuh menjelang PRU16, sekali gus mengekalkan suara serta pengaruhnya dalam mencorakkan hala tuju politik negara dan memperjuangkan kepentingan Sarawak pada masa hadapan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



