
KOTA KINABALU – Graduan perlu menjadikan integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab sebagai prinsip utama dalam kehidupan serta kerjaya bagi membentuk masyarakat yang bebas daripada amalan rasuah.
Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim berkata, kelayakan akademik semata-mata tidak mencukupi untuk menentukan kejayaan seseorang, sebaliknya perlu disertai sahsiah baik, kejujuran, sifat belas ihsan dan rasa hormat terhadap orang lain.
“Rasuah bukan sekadar isu ekonomi, malah masalah moral yang boleh melemahkan institusi, menghakis kepercayaan rakyat dan menyelewengkan sumber yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pendidikan, kesihatan serta pembangunan negara.
“Usaha memerangi rasuah tidak bermula di mahkamah atau agensi penguatkuasaan. Ia bermula dengan pilihan setiap individu untuk bertindak jujur, menolak jalan pintas dan melakukan perkara yang betul walaupun tiada sesiapa yang memerhatikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada hari kedua Majlis Konvokesyen UMS kali ke-28, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, pembentukan generasi yang menolak rasuah perlu bermula dengan pendidikan, khususnya menerusi pendekatan Pendidikan Berteraskan Nilai atau ‘Value-Based Education’ (VBE).
“Pendekatan itu bukan sahaja menekankan penguasaan ilmu dan kemahiran, tetapi turut memberi perhatian kepada pembentukan sahsiah, etika serta tanggungjawab sebagai warga negara.
“Nilai seperti kejujuran, integriti, rasa hormat, akauntabiliti dan tanggungjawab perlu dihayati serta diamalkan dalam kehidupan seharian, bukan sekadar dipelajari dalam bilik kuliah,” ujarnya.
Beliau juga turut menekankan kepentingan memelihara keharmonian masyarakat majmuk dengan menghormati perbezaan kaum, agama dan budayaz
Dalam pada itu, Azman mengingatkan graduan yang menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman bagi memastikan kemudahan pembiayaan pendidikan itu dapat terus dimanfaatkan generasi akan datang.
Katanya, seramai 361,384 peminjam dilaporkan tidak pernah membuat sebarang bayaran balik, membabitkan jumlah tunggakan sebanyak RM5.13 bilion.
Sehubungan itu, graduan mempunyai peranan penting dalam menyebarluaskan budaya integriti dan saling menghormati, selain mengamalkan nilai berkenaan terlebih dahulu sebelum menuntutnya daripada orang lain.
“Jika kita dapat memperkukuh pendidikan berteraskan nilai dan menjunjung budaya integriti, akauntabiliti serta saling menghormati, kita bukan sahaja akan melahirkan graduan lebih berkualiti, malah membina Malaysia yang lebih kukuh untuk generasi akan datang,” katanya.



