
KUCHING – Kemenangan tanpa bertanding 29 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hadir bersama tanggungjawab besar kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat datang dengan amanah dan menuntut semula kepercayaan rakyat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua wakil rakyat yang disahkan menang tanpa perlu melalui hari pengundian itu perlu terus menabur bakti serta melaksanakan peranan masing-masing kepada masyarakat setempat.
“Jadi sebab itu yang penting bagi kita sebagai wakil rakyat untuk menabur balik kepada rakyat kita yang telah memberi kepercayaan kepada kita,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak 2026 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak pada Ahad.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Dewan Bandaraya Kuching Utara, Hal Ehwal Islam dan Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai semalam, selain dua lagi kerusi DUN di bawah Parlimen Santubong iaitu Tanjong Datu dan Demak Laut.
Mengulas gerak kerja di bawah Parlimen Santubong yang diwakilinya berikutan tiada kempen pilihan raya dijalankan, Nancy menjelaskan program turun padang menyantuni penduduk diteruskan seperti biasa termasuk menghadiri tiga acara komuniti di kawasan itu hari ini sebelum ke DUN lain.
Beliau berkata, pihaknya turut berkunjung ke kawasan calon baharu wanita bagi memperkenalkan program kementerian walaupun kesemua mereka telah menang tanpa bertanding, di samping turun membantu calon GPS di kawasan yang masih dipertandingkan.
“Kita tidak mahu menghampakan rakyat kita supaya mereka juga masih dapat menikmati apa yang kita adakan untuk mereka semua,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak serta jentera parti yang telah bekerja keras membuat persiapan pilihan raya.
Dalam pada itu, Nancy menyifatkan kemenangan tanpa bertanding membabitkan 27 calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan dua calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semalam sebagai sejarah baharu di Sarawak dan Malaysia, namun menolak tanggapan kononnya proses demokrasi sudah hilang atau terhapus.
“Tapi sebenarnya untuk kita jelaskan kepada masyarakat di luar sana, sebenarnya kitalah yang banyak mengamalkan proses demokrasi ini. Dan yang kita izinkan segala proses ini dipatuhi tetapi mereka tidak mahu bertanding,” katanya.
Beliau berpandangan ketiadaan pencabar mendaftar di pusat penamaan calon bagi 29 kawasan berkenaan sehingga tempoh penamaan ditutup semalam berkemungkinan berpunca daripada kesukaran pihak lawan menandingi rekod pencapaian Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Sebab apa yang Yang Amat Berhormat Premier lakukan telah terbukti. Tak berjanji pun, dia buktikan dia akan buat sesuatu untuk rakyat kita,” katanya merujuk pembinaan 22 projek jambatan dalam tempoh beberapa tahun selain pelbagai skim bantuan ekonomi negeri bagi ibu bersalin, bayi baharu lahir serta pengurangan beban kos sara hidup.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



