Pas tak perlu sapu semua kerusi di SG4, beri ruang kepada UMNO

KUALA LUMPUR – Pas wajar menyerahkan satu pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat negeri yang ditadbirnya kepada UMNO sekiranya kedua-dua parti itu serius mahu meneruskan kerjasama politik pada pilihan raya akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Pas tidak perlu bertanding di semua kerusi di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis (SG4) kerana penguasaan dua pertiga kerusi sudah memadai.

Menurutnya, kejayaan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga di Johor pada 2022 membantu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negeri itu.

Beliau membandingkan keadaan berkenaan dengan Terengganu yang kaya dengan sumber minyak, namun mendakwa negeri itu masih belum menyaksikan kemasukan pelabur asing secara besar-besaran.

“Jadi, Pas perlu buat pertimbangan ini. Mereka tidak perlu 100 peratus bertanding semua kerusi, hanya perlu dua pertiga.

“Kalau mereka hendak kuat pun, jadi apa salahnya kalau satu pertiga kerusi itu diserahkan kepada rakan-rakan UMNO di negeri-negeri tersebut.

“Baru nampak ada keyakinan dan juga kepercayaan kepada keikhlasan Pas sendiri dalam penyatuan Melayu ini,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia pada Ahad.

Pada pilihan raya negeri lalu, Pas memenangi kesemua 27 kerusi yang ditandinginya di Terengganu, 37 daripada 45 kerusi di Kelantan, 21 daripada 36 kerusi di Kedah dan sembilan kerusi di Perlis.

Kerjasama politik UMNO dan Pas kini semakin pulih secara berperingkat, bermula dengan persefahaman tidak rasmi bagi mengelakkan pertembungan kerusi di Johor sebelum berkembang kepada pakatan pilihan raya tidak rasmi di Negeri Sembilan.

Kedua-dua parti itu juga sedang membincangkan kemungkinan bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, selain pemimpin masing-masing menghadiri perhimpunan agung parti.

Mengulas kebimbangan kerjasama dengan Pas boleh menjauhkan pengundi Cina, Nur Jazlan berkata, UMNO berperanan membantu mengubah persepsi masyarakat bukan Melayu terhadap parti Islam itu.

Katanya, antara kebimbangan utama pengundi bukan Melayu terhadap Pas ialah persoalan kebebasan untuk menjalani kehidupan masing-masing sekiranya parti itu berkuasa.

“Masalah utama pengundi bukan Melayu dengan Pas ini adalah mereka tidak yakin bahawa mereka akan diberikan kebebasan untuk menjalani kehidupannya.

“Saya rasa orang Pas ini boleh jadi fleksibel juga. Tapi fleksibel mereka adalah dipengaruhi oleh kerjasama dengan UMNO. Jadi, UMNO main peranan besar dalam melembutkan imej Pas pada masa akan datang,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu turut mendakwa kajian yang dilakukannya sendiri menunjukkan sokongan masyarakat Cina terhadap UMNO di Johor kembali mencecah sekitar 20 peratus.

Menurutnya, peningkatan itu dikaitkan dengan keyakinan terhadap cara kepimpinan negeri menguruskan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, cenderung membuat pilihan berdasarkan keupayaan sesebuah parti politik meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan mereka, meskipun terdapat pelbagai persepsi negatif terhadap UMNO dan Pas.

Related Posts

Tuanku Muhriz fokus urusan negeri, tidak hadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja

SEREMBAN – Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu menjadi keutamaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sehingga baginda memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Pengelola…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Belanjawan 2027 cerminkan keperluan, kesejahteraan rakyat – Pakar

PENDEKATAN Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2027 yang memberi penekanan kepada kebajikan rakyat, peningkatan pendapatan dan kos sara hidup disifatkan sebagai langkah penting bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Runner’ tidak berdaftar dilarang berurusan di JPJ mulai Januari 2027

‘Runner’ tidak berdaftar dilarang berurusan di JPJ mulai Januari 2027

Ambil langkah berjaga-jaga susulan jerebu

Ambil langkah berjaga-jaga susulan jerebu

Tuanku Muhriz fokus urusan negeri, tidak hadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Tuanku Muhriz fokus urusan negeri, tidak hadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Sekolah bawah PPD Rompin, Kuantan ditutup esok

Sekolah bawah PPD Rompin, Kuantan ditutup esok

Belanjawan 2027 cerminkan keperluan, kesejahteraan rakyat – Pakar

Belanjawan 2027 cerminkan keperluan, kesejahteraan rakyat – Pakar

Sultan Ibrahim, Raja Abdullah II perkukuh hubungan dua hala

Sultan Ibrahim, Raja Abdullah II perkukuh hubungan dua hala