
KOTA KINABALU – Hampir RM1.3 bilion disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak, menerusi Belanjawan MADANI 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan itu sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan menambah baik kemudahan pendidikan di seluruh negara.
“Selain itu, hampir 1.3 bilion ringgit disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Dalam pembentangan sama, kerajaan turut menyenaraikan pembinaan bangunan prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bulu Silou, Keningau, Sabah.
Kongsinya, pembinaan itu termasuk dalam senarai projek sekolah baharu, bangunan prasekolah dan kemudahan tambahan di sekolah sedia ada yang akan dilaksanakan kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan sebanyak 3,500 bilik darjah tambahan dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Katanya, pembinaan bilik darjah tambahan itu bagi menampung pertambahan murid Tahun Satu pada tahun depan, dengan hampir 500,000 murid dijangka memasuki alam persekolahan, termasuk lebih 70,000 yang berusia enam tahun.
Dalam pada itu, seramai 4,200 anak kelahiran Sabah dan Sarawak bakal mendapat peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun susulan keputusan kerajaan menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Tambahnya, langkah berkenaan diumumkan menerusi Belanjawan MADANI 2027 bagi memperluas peluang pendidikan tinggi kepada anak kelahiran kedua-dua negeri.
“Kerajaan bersetuju untuk menggandakan tawaran tajaan JPA kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak.
“Bermakna, seramai 4,200 anak Sabah dan Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke menara gading setiap tahun,” kongsinya.
Tambahnya lagi, penggandaan tawaran tajaan itu menjadikan jumlah peluang yang diumumkan bagi anak kelahiran Sabah dan Sarawak sebanyak 4,200 setiap tahun.
Belanjawan MADANI 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dibentangkan berteraskan lapan lunas utama, termasuk mengutamakan pembangunan semua negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.






