KUALA LUMPUR – Pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan dan kebudayaan tanah air.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad sepanjang hayatnya banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa dan sastera menerusi karya yang merakam kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, Allahyarham bukan sahaja menyumbang melalui penulisan, malah berjaya merakam denyut nadi kehidupan, pergolakan masyarakat dan perjalanan bangsa menerusi perspektif seorang sasterawan.
Katanya, karya agung Allahyarham termasuk novel Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi terus menjadi sebahagian daripada khazanah sastera negara yang akan dihayati generasi demi generasi.
“Sesungguhnya, jasad seorang sasterawan mungkin telah pergi, namun suara, pemikiran dan perjuangannya tidak akan sama sekali terpadam.
“Selagi karya-karya Pak Samad terus dibaca dan menjadi sumber inspirasi, selagi itulah nama Pak Samad akan hidup dalam ingatan kita,” katanya.
Fahmi turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham serta mendoakan agar segala dosa Allahyarham diampunkan dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun pada petang Selasa.


