KUALA LUMPUR – Dunia kesusasteraan tanah air kehilangan seorang tokoh besar apabila Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, meninggal dunia pada jam 6.01 petang Selasa pada usia 91 tahun.
Allahyarham yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, merupakan antara tokoh penting yang banyak menyumbang kepada perkembangan dan pemartabatan kesusasteraan Melayu.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan, beliau menghasilkan pelbagai karya merangkumi novel, puisi, drama, cerpen dan esei, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara sasterawan paling prolifik negara.
Antara karya yang mengangkat nama beliau termasuk novel Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi dan Lantai T. Pinkie.
Novel Salina turut diterjemahkan ke beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris dan Perancis, manakala sebahagian karya beliau turut diadaptasi ke pentas teater dan drama.
Sumbangan besar Allahyarham dalam bidang kesusasteraan diiktiraf menerusi pelbagai anugerah, antaranya Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, SEA Write Award pada 1979 dan Anugerah Sastera Negara pada 1985.
Beliau turut menerima Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997.
Pemergian Allahyarham pastinya meninggalkan kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan negara, namun legasi penulisan dan sumbangannya dalam memperjuangkan bahasa serta sastera Melayu akan terus dikenang.


