KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, membabitkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup susulan pendapatan rakyat yang tidak meningkat seiring kenaikan harga barangan.
“Pampasan pekerja kepada KDNK di Malaysia masih rendah pada kadar 33.9 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.
Dalam pada itu, kerajaan akan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan menerusi pembaharuan kerangka pendapatan pekerja.
Anwar berkata, langkah itu penting kerana kadar gaji minimum hanya menaikkan paras terendah pendapatan pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih belum setimpal dengan tahap kelayakan mereka.



