
KUALA LUMPUR – Had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010, dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil susulan kerajaan mendengar keresahan golongan pertengahan (M40) yang cekal bersabar meskipun turut terhimpit beban sara hidup.
“Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak satu mata peratusan.
“Banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus.
“Banjaran pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 dikurangkan kepada 24 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Perdana Menteri turut menyatakan pelepasan cuki individu turut diperluas, antaranya rawatan perubatan meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, penjagaan ibu bapa dan datuk nenek diperluas meliputi semua perbelanjaan penjagaan dan tidak lagi terhad kepada kesihatan.
Selain itu, katanya ia termasuk peralatan sukan meliputi pembelian kasut sukan, yuran pengajian dan kemahiran diperluas meliputi semua bidang pengajian dan tuisyen anak.
Tidak hanya itu, gaya hidup turut diperluas merangkumi langganan kepintaran buatan (AI) serta kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.
Anwar berkata kenaikan pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai individu bakal memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.




