
KUALA LUMPUR — Kerajaan memandang serius kegiatan kecurian kabel, khususnya yang dipercayai didalangi sindiket, susulan kes berulang yang menjejaskan operasi pengangkutan awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, isu berkenaan sememangnya dipandang serius kerana kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan pengendali, malah boleh mengganggu perkhidmatan awam.
“Jemaah Menteri memang pandang serius kecurian kabel khususnya oleh sindiket. Soalan ini sepatutnya dijawab Kementerian Dalam Negeri (KDN), bagaimanapun KPKT sentiasa berinteraksi dengan KDN.
“Mungkin perlu pinda undang-undang supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah kes kecurian kabel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi di Dewan Rakyat berhubung tindakan kerajaan menangani kegiatan kecurian kabel dan penjualan bahan curi kepada premis barang lusuh.
Dalam pada itu, Nga Kor Ming memberi amaran kepada pengusaha premis barang lusuh supaya tidak menerima atau membeli bahan yang dipercayai diperoleh daripada aktiviti jenayah.
“Melalui sistem penguatkuasaan PBT (pihak berkuasa tempatan), menerima bahan curian adalah satu jenayah. Kita beri isyarat bahawa jika ditangkap, boleh didakwa,” katanya.

Beliau berkata kerjasama antara KPKT, KDN dan agensi penguatkuasaan lain akan terus diperkukuh bagi memutuskan rantaian kegiatan berkenaan, termasuk saluran menjual kabel yang dicuri.
Kerajaan sebelum ini turut mengambil langkah meningkatkan pemantauan di lokasi berisiko tinggi, termasuk penggunaan CCTV pintar, teknologi dron dan rondaan keselamatan bagi membendung kecurian kabel infrastruktur rel.
Isu itu bukan perkara baharu apabila statistik Parlimen menunjukkan sebanyak 72 kes kecurian kabel membabitkan LRT dan MRT kendalian Prasarana direkodkan pada 2025, meningkat daripada 41 kes pada 2024
Bagi tempoh 2024 hingga Jun 2026 pula, sebanyak 432 kes kecurian kabel direkodkan melibatkan aset Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dengan anggaran kerugian RM16.3 juta. Prasarana turut merekodkan 163 kes dengan anggaran kerugian RM29 juta





