
MALAYSIA perlu mengambil iktibar daripada krisis bekalan minyak dan gas yang sedang menghimpit Eropah supaya tidak terperangkap dalam keputusan politik jangka pendek, yang akhirnya membebankan rakyat pada masa depan.
Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, perkembangan terbaharu membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menunjukkan bagaimana negara-negara mula berebut serta mengehadkan bekalan diesel masing-masing apabila bekalan global semakin berkurangan.
“Amerika sedang menekan Eropah untuk mengeluarkan diesel dari rizab strategik mereka. Jika tidak, Amerika mengancam akan mengenakan harga yang tinggi bagi eksport diesel dari Amerika ke Eropah.
“Mereka ini kan kawan-kawan. Namun, disebabkan bekalan diesel semakin berkurangan, semua negara mahu ‘kemut’ bekalan diesel masing-masing,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, selain Rusia dan China, AS juga sedang mempertimbangkan langkah menghentikan eksport diesel, yang tentunya memberi kesan kepada Eropah.
Ujarnya, situasi itu boleh dijadikan contoh bagaimana keputusan strategik berkaitan tenaga yang dibuat Eropah sejak sekian lama akhirnya menimbulkan masalah kepada rantau berkenaan.
Menurutnya, kira-kira 30 loji penapisan minyak di Eropah ditutup sejak tahun 2000 susulan usaha beralih kepada sumber tenaga lebih bersih.
Namun, katanya, Eropah gagal membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui pada kadar yang sepadan dengan penutupan loji berkenaan.
“Sebaliknya mereka mengimport minyak dan gas terproses dari luar negara termasuk Rusia. Kemudian, tercetus dua peperangan,” katanya.

Nik Hasyudeen berkata, konflik Ukraine menyebabkan Eropah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia, termasuk menghentikan pembelian gas dari negara berkenaan.
Bekalan dari negara-negara Teluk kemudian digunakan bagi menggantikan sebahagian bekalan Rusia, namun konflik Iran pula menambahkan tekanan terhadap pasaran tenaga global.
Beliau berkata, penutupan Selat Hormuz susulan perang Iran menyebabkan bekalan minyak dan gas terganggu, sekali gus mendorong kenaikan harga bahan hidrokarbon.
“Yang lebih memberi kesan ke atas Eropah ialah bekalan gas dari Teluk, terutamanya dari Qatar,” katanya.
Mengulas keadaan Malaysia, Nik Hasyudeen berkata, rakyat ketika ini mungkin berasa lebih selesa kerana harga bahan api masih rendah hasil dasar subsidi kerajaan.
“Perasankah anda kita ini macam tak ada masalah bekalan minyak pula. Semua orang berasa tenang kerana RON95 kekal RM1.99. Diesel pun dikekalkan harganya pada RM2.10.
“Sejahtera rasanya walaupun kerajaan menanggung kos subsidi yang amat besar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan harga bahan api yang rendah boleh menyebabkan pengguna tidak terdorong mengubah corak penggunaan dan gaya hidup.
“Poket rakyat Malaysia kurang terkesan, mereka tidak mengubah cara hidup dan gaya hidup mereka. Teguk petrol dan diesel macam minum air,” katanya.

Justeru, Nik Hasyudeen mengingatkan supaya Malaysia tidak mengulangi kesilapan strategik yang berlaku di Eropah dengan membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik jangka pendek.
“Belajarlah daripada apa yang dah berlaku kepada Eropah. Mereka ada kajian strategik. Tetapi politik menyebabkan mereka memilih jalan yang menyusahkan di masa hadapan, sekarang!” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana Malaysia mampu mengelak daripada terdedah kepada dasar populis yang mungkin kelihatan menguntungkan rakyat dalam jangka pendek, tetapi membawa kesan lebih berat apabila masalah sebenar tidak lagi boleh ditangguhkan.
“Apakah yang menjamin kita tidak terdedah kepada pilihan politik yang populis untuk jangka pendek dan pakat-pakat merana apabila masalah yang kita tangguhkan itu tidak dapat dielakkan lagi?” soalnya.
Nik Hasyudeen turut mengingatkan bahawa keputusan berkaitan dasar tenaga hari ini bukan hanya memberi kesan kepada generasi semasa, sebaliknya berpotensi menentukan keadaan yang bakal dihadapi generasi akan datang.







