KUALA LUMPUR – Generasi muda perlu berani bersuara serta menolak rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira kaum, agama atau kelompok, selaras dengan prinsip kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan muda juga tidak boleh dijadikan alat kepada mana-mana pihak sehingga hilang kebebasan untuk berfikir, bersuara dan mengemukakan pandangan secara kritis.
Beliau berkata, anak muda perlu memainkan peranan sebagai pemimpin masa kini dengan keberanian mengemukakan pandangan serta kritikan berasaskan ilmu dan hujah.
“Saya tidak ada masalah kalau anak-anak boleh buat usul dan resolusi, berhujah. Kalau ada usul (kepada Perdana Menteri) patut buat begini, saya tidak ada masalah.
“Kerana saya tidak fikir saya ini sebagai Perdana Menteri mempunyai pengetahuan yang sempurna dan boleh lakukan semua. Tidak, saya mahu mendengar,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Anwar berkata, golongan muda juga tidak seharusnya taasub kepada mana-mana individu, parti atau kaum, sebaliknya perlu menimba ilmu serta berpegang kepada kebenaran dan keadilan.
Katanya, mereka perlu diberi ruang untuk mengenali dan memahami pelbagai pemikiran serta tradisi ilmu daripada pelbagai latar belakang.
“Ia termasuk daripada dunia Islam, Timur dan Barat, tanpa menolak sesuatu pemikiran secara keseluruhan hanya kerana perbezaan latar belakang.
“Mesti taasub dengan ilmu, dengan kebenaran, dengan keadilan, dengan kemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, Anwar menyeru kumpulan muda supaya berani menolak rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira kaum, agama atau kelompok, selaras dengan prinsip kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.
Beliau berkata, generasi baharu mempunyai keberanian, disiplin dan idealisme untuk membawa perubahan serta menentukan hala tuju Malaysia pada masa depan.








