
NEW YORK – Kuasa lima negara pemegang veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) digesa dimansuhkan, susulan kegagalan badan itu menangani beberapa krisis antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembaharuan terhadap Majlis Keselamatan adalah antara perkara paling kritikal yang perlu dilakukan kerana kuasa veto tidak seharusnya digunakan sehingga melumpuhkan kehendak bersama negara anggota, khususnya dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan.
“Berulang kali, kehendak bersama Perhimpunan ini disenyapkan oleh kuasa veto. Malaysia akan bercakap terus terang, kami sudah muak dengannya,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada debat umum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di sini.
Malaysia sebelum ini konsisten menggesa gencatan senjata segera, penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sekatan dan tindakan terhadap Israel, selain menyokong keanggotaan penuh Palestin di PBB.
Namun, usaha berkenaan berdepan penggunaan kuasa veto oleh anggota tetap Majlis Keselamatan.
Mohamad berkata, penambahan anggota Majlis Keselamatan sahaja tidak mencukupi untuk menangani kelemahan badan itu.
Sebaliknya, mekanisme sedia ada seperti Resolusi Perhimpunan Agung PBB 76/262 perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kebertanggungjawaban terhadap penggunaan kuasa veto.
Beliau berkata, masih ada ruang untuk memperbaiki sistem antarabangsa dan kebuntuan di Majlis Keselamatan tidak seharusnya melumpuhkan keseluruhan PBB.
Malaysia, katanya, tidak akan berpaling daripada PBB atau meninggalkan multilateralisme hanya kerana kelemahan sistem berkenaan.
Selain Malaysia, 127 negara daripada 193 negara anggota PBB turut menyokong agar kuasa veto dipinda atau dihadkan, khususnya membabitkan kes kekejaman besar-besaran.
Lima negara berkenaan, Amerika Syarikat, China, Russia, United Kingdom dan Perancis bagaimanapun tidak memberi sebarang respons mengenai gesaan tersebut.






