
KUALA LUMPUR – Cadangan supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasikan bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai proses dan keputusan pengampunan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan itu merupakan satu idea baik dan wajar dipertimbangkan bagi menjelaskan isu berbangkit kepada masyarakat.
“Satu idea baik. Boleh klasifikasi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan supaya beri perspektif lebih tepat terhadap satu proses itu.
“Saya fikir itu tanggungjawab Peguam Negara. Esok mesyuarat Jemaah Menteri, saya beranikan diri bawa. Ini syor Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) di Dewan Rakyat pada Khamis berhubung kesediaan kerajaan menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan supaya isu berkaitan pengampunan dapat dirungkai sepenuhnya.
Syed Saddiq berkata, banyak laporan polis telah dibuat terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung kenyataannya yang didakwa tidak bersetuju dengan perintah Yang di-Pertuan Agong.
Mengakhiri jawapannya, Saifuddin memetik ungkapan Mahatma Gandhi ‘The world has enough for everyone’s need, but not enough for everyone’s greed’ dan menegaskan perbuatan rasuah tidak mengenal batas dan orang yang menolong perbuatan rasuah ini pun tidak mendapat sebarang kebaikan.


