
KOTA KINABALU – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) akan menyelaras dengan agensi berkaitan bagi menyemak pematuhan pengendali, vesel, aktiviti pelancongan dan kemudahan susulan kematian seorang pelancong China ketika melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Mengalum pada 23 September lalu.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, semakan itu termasuk status lesen dan kelulusan, pematuhan prosedur keselamatan, penyediaan peralatan keselamatan, taklimat kepada pelancong, tahap pengawasan serta prosedur tindak balas kecemasan.
“Jika terdapat kelemahan, ia perlu diperbaiki. Jika undang-undang atau syarat lesen dilanggar, pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil tindakan.
“Jika prosedur sedia ada perlu diperkukuhkan, kita harus melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mengulas persoalan mengenai keselamatan, pelesenan, status tanah dan penguatkuasaan yang dibangkitkan ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong dan ADUN Luyang, Samuel Wong, Jafry berkata perkara itu wajar disahkan pihak berkuasa berkaitan.

Bagaimanapun, katanya, adalah terlalu awal untuk mengaitkan kematian berkenaan dengan status lesen, tanah, Lesen Pendudukan Sementara (TOL), struktur atau kemudahan selagi perkara itu belum ditentukan menerusi siasatan.
Menurut Jafry, status sebenar tanah serta TOL dan kelulusan berkaitan kemudahan perlu disahkan berdasarkan rekod rasmi Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta agensi berkaitan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran atau ketidakpatuhan selepas semakan dilakukan, saya menjangkakan pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
“Keutamaan kita adalah mendapatkan fakta, melindungi pengunjung dan terus memperkukuh keyakinan terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
KePKAS akan terus menyelaras dengan pihak berkuasa berkaitan dan memberikan maklumat lanjut selepas proses pengesahan rasmi selesai.
Jafry pada masa sama menegaskan siasatan Polis perlu diberi ruang untuk menentukan keadaan serta punca sebenar kematian mangsa sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Berdasarkan maklumat awal polis Kota Kinabalu, mangsa warga China berusia lingkungan 30-an adalah antara 17 pelancong yang mengunjungi Pulau Mengalum pada Jumaat lepas.
Mangsa dilaporkan melakukan aktiviti snorkeling selama kira-kira 15 minit di kawasan perairan sedalam kira-kira 1.5 meter sebelum seorang kru bot menyedarinya terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudiannya dibawa ke darat dan diberikan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR), namun tidak memberikan tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia dan pihak Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.






