
KUANTAN – Pahang memperkukuh rantaian industri perikanan negeri dengan memberi tumpuan kepada teknologi pemprosesan, penyimpanan dan pembangunan produk hiliran berasaskan hasil laut.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu antara yang diberi perhatian semasa lawatan kerja delegasi Pahang ke Vigo, Sepanyol termasuk kunjungan ke sebuah pusat teknologi dan penyelidikan industri perikanan terkemuka, Anfaco-Cytma.
Menurutnya, turut dilawati syarikat multinasional terkemuka dari Sepanyol yang pakar dalam industri perikanan, akuakultur, pemprosesan dan pengedaran makanan laut, Grupo Profand.
“Lawatan itu bagi meninjau perkembangan industri perikanan dan pemprosesan hasil laut di negara berkenaan.
“Vigo antara pusat industri perikanan yang penting di Eropah justeru lawatan ke Anfaco-Cytma memberi peluang kepada kami melihat bagaimana penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi pemprosesan hasil laut serta pemeliharaan ikan digabungkan bagi menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Wan Rosdy kini sedang mengetuai delegasi kerajaan Pahang dalam misi lawatan kerja ke Eropah bagi meneroka peluang kerjasama strategik, teknologi baharu serta memajukan sektor ekonomi utama negeri.
Terdahulu, beliau bersama delegasi memulakan lawatan kerja itu ke Itali bagi sektor penternakan dalam usaha memperkukuh pembangunan industri kerbau tenusu menerusi penerokaan teknologi, baka berkualiti dan pengurusan moden dari negara itu.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, lawatan ke Grupo Profand memberi peluang kepada para delegasi melihat sendiri operasi pemprosesan ikan dan makanan laut, pengurusan rantaian bekalan, teknologi penyimpanan serta aspek keselamatan dan kawalan kualiti makanan.
“Apa yang menarik perhatian saya, industri perikanan mereka tidak berhenti pada aktiviti menangkap dan mendaratkan ikan semata-mata sebaliknya, hasil laut dikembangkan melalui satu rantaian industri yang lengkap daripada pendaratan, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan, pemasaran sehinggalah menghasilkan pelbagai produk hiliran.
“Perkara ini sangat relevan dengan Pahang yang mempunyai kedudukan penting dalam sektor perikanan di Pantai Timur,” katanya.
Jelas beliau, berdasarkan data Jabatan Perikanan Malaysia, pengeluaran perikanan Pahang pada tahun 2025 mencapai 148,968 tan metrik, meningkat daripada 144,651.73 tan metrik pada 2024, serta tertinggi di Pantai Timur.
“Angka itu menunjukkan Pahang bukan sekadar mempunyai sumber perikanan yang besar, tetapi mempunyai asas yang kukuh untuk membangunkan industri perikanan secara lebih menyeluruh.
“Justeru, kerajaan negeri berhasrat untuk melihat Pahang bergerak ke satu tahap yang lebih tinggi. Kita tidak mahu hanya menjadi negeri yang membekalkan ikan mentah selamanya,” ujar beliau.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan negeri ingin melihat hasil laut Pahang diproses di negeri ini, diberikan nilai tambah dan seterusnya dipasarkan dalam bentuk produk yang lebih bernilai.
“Daripada ikan segar, kita boleh membangunkan lebih banyak produk hiliran seperti makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan, produk berasaskan ikan, produk surimi, makanan dalam tin serta pelbagai produk makanan laut yang mempunyai pasaran lebih luas.
“Inilah yang dimaksudkan dengan membangunkan rantaian industri perikanan supaya nilai ekonomi daripada hasil laut tidak terhenti di jeti atau pasar, tetapi terus berkembang sepanjang rantaian sehingga memberi manfaat kepada nelayan, pengusaha, usahawan, industri pemprosesan dan akhirnya kepada ekonomi negeri,” katanya.






