Pembatalan lantikan Exco sah, selaras Perlembagaan

PUTRAJAYA – Pembatalan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah sah dan berperlembagaan.

Pengamal undang-undang, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, peruntukan di bawah Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) tidak menyatakan bahawa pembatalan pelantikan Ahli MMKN hanya boleh dibuat atas nasihat Menteri Besar.

Menurut beliau, tindakan Tuanku Muhriz mempunyai asas jelas di bawah undang-undang terbabit yang menetapkan seseorang Ahli Exco selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan oleh Raja.

“Peruntukan berkenaan jelas berbeza dengan peruntukan lain dalam UUTKNS yang secara khusus mensyaratkan nasihat Menteri Besar. Perkara 38(2)(b) menyatakan pelantikan Exco dibuat atas nasihat Menteri Besar.

“Perkara 39A(2)(c) pula menyatakan Setiausaha Politik kekal sehingga pelantikannya ditentukan oleh Menteri Besar.

“Perkara 38(5) menyediakan laluan pembatalan pelantikan Ahli MMKN, termasuk apabila Yang di-Pertuan Besar menarik balik perkenan Baginda. Dalam keadaan ini, pembatalan pelantikan tersebut berkuat kuasa serta-merta,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan pelbagai pihak, khususnya peguam yang mempertikaikan kesahan pembatalan pelantikan Exco berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Hariz, pelantikan Menteri Besar dan 10 Ahli MMKN sebelum ini dibuat dengan perkenan Tuanku Muhriz, dengan Menteri Besar mengangkat sumpah pada 2 Ogos lalu, manakala kesemua Ahli MMKN berkenaan pada 7 Ogos.

Katanya, Perkara 38(5) perlu dibaca secara khusus kerana peruntukan itu membezakan antara kuasa pelantikan dan tempoh seseorang Ahli MMKN memegang jawatan.

“Penggunaan perkataan yang berbeza dalam peruntukan berkenaan membawa maksud yang berbeza. Perkara 38(5) secara khusus menyentuh tempoh seseorang Ahli MMKN memegang jawatan serta pembatalan pelantikannya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hariz berkata Perkara 40(1) UUTKNS yang menetapkan Raja bertindak atas nasihat turut mempunyai pengecualian apabila Undang-Undang Tubuh Negeri memperuntukkan sebaliknya.

Beliau yang juga peguam kepada Undang Luak Rembau menjelaskan, Perkara 38(5) merupakan peruntukan khusus yang berkaitan kedudukan Ahli MMKN dan perlu dipertimbangkan dalam isu pembatalan pelantikan berkenaan.

“Kedudukan Ahli MMKN yang didakwa menyokong Proklamasi 19 April 2026 yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, sedangkan mereka sebelum itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Baginda.

“Setiap Ahli MMKN bersumpah untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Besar dalam pentadbiran urusan awam negeri dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, mereka juga bersumpah untuk mempertahan Perlembagaan Negeri Sembilan.

“Justeru, seseorang tidak boleh pada masa sama menafikan kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan mempertahan Perlembagaan Negeri,” tegasnya.

Sementara itu, Muhammad Hariz menjelaskan, pembatalan pelantikan itu tidak melibatkan jawatan Menteri Besar dan pentadbiran negeri masih boleh diteruskan.

Menurut beliau, Menteri Besar juga telah diseru mengemukakan senarai calon Ahli MMKN baharu untuk mendapat perkenan Tuanku Muhriz.

“Titah baginda tidak menyentuh jawatan Menteri Besar. Pentadbiran negeri tidak terhenti dan Menteri Besar adalah diseru menjunjung titah baginda.

“Susulan pembatalan itu, individu yang pelantikannya telah dibatalkan tidak lagi memegang jawatan Ahli MMKN berkuat kuasa 20 September lalu,” katanya

Tambahnya, sebarang keputusan dibuat atas kapasiti Ahli MMKN selepas tarikh berkenaan boleh terdedah kepada cabaran undang-undang dan pegawai perkhidmatan awam negeri wajar mendapatkan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum bertindak atas arahan sedemikian.

“Keengganan Menteri Besar mengemukakan senarai calon Ahli MMKN baharu boleh menimbulkan persoalan serius berhubung hubungan perlembagaan antara Menteri Besar dengan Yang di-Pertuan Besar,” katanya

Related Posts

Betong bakal miliki Pusat Konvensyen Mini

BETONG – Betong bakal memiliki Pusat Konvensyen Mini bagi memenuhi keperluan penganjuran forum, persidangan dan pelbagai program pembangunan ilmu di bahagian berkenaan. Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hannah gesa laluan standard acara larian kurangkan gangguan trafik KL

KUALA LUMPUR – Penganjur acara larian di ibu negara digesa menyelaraskan laluan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan gangguan trafik susulan penutupan jalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Ada keperluan syarikat untung tinggi masih bayar gaji rendah diambil tindakan lebih tegas

Ada keperluan syarikat untung tinggi masih bayar gaji rendah diambil tindakan lebih tegas

Hampir 90 peratus kandungan diturunkan MCMC berkait scam, judi dalam talian

Hampir 90 peratus kandungan diturunkan MCMC berkait scam, judi dalam talian

Kelemahan pengurusan, kerugian UiTM Holdings perlu disemak secara teliti

Kelemahan pengurusan, kerugian UiTM Holdings perlu disemak secara teliti

Pemerkasaan pembangunan Bumiputera tidak pernah dipinggirkan Kerajaan MADANI

Pemerkasaan pembangunan Bumiputera tidak pernah dipinggirkan Kerajaan MADANI

PAUiTM diamanah nilai prestasi agensi Bumiputera, perkasa keupayaan universiti

PAUiTM diamanah nilai prestasi agensi Bumiputera, perkasa keupayaan universiti

Betong bakal miliki Pusat Konvensyen Mini

Betong bakal miliki Pusat Konvensyen Mini