HANGZHOU – Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterbukaan itu penting dalam memastikan sebarang bentuk kerjasama politik dapat dibincangkan secara matang demi kepentingan landskap politik negara.
Katanya, dalam politik, sikap sombong dan menutup ruang rundingan perlu dielakkan sekiranya ada pihak menyatakan kesediaan untuk berbincang.
“Saya tugaskan saudara (Datuk Seri) Amirudin Shari dan sekarang dia bincang. Kita ini jangan sombong. Kalau orang kata sedia bincang, kita bincang. Itu cara orang politik.
“Ada orang kata, oh ini kita tak (mahu), mana ada. Bincang permasalahannya. Setuju atau tidak setuju, itu terpulang kepada jawatankuasa,” katanya kepada media ketika dalam perjalanan menaiki kereta api laju dari Shanghai ke Hangzhou, hari ini.
Terdahulu, Anwar menyampaikan ucaptama pada Sesi Pleno Persidangan WorldSkills 2026 Shanghai yang dirasmikan Perdana Menteri China, Li Qiang.Anwar berkata demikian ketika mengulas perkembangan rundingan politik menjelang PRN Melaka.
Beliau pada masa sama menegaskan setakat ini tiada sebarang ketetapan muktamad dibuat PH berhubung bentuk kerjasama politik dengan mana-mana parti.
Sementara itu, Anwar berkata beliau mahu terus menumpukan usaha untuk berkhidmat kepada negara sepanjang tempoh pentadbiran berbaki kira-kira 15 bulan.
“Tahun yang berbaki ini harap Allah bagi sihat, saya nak (teruskan bekerja),” katanya.





