Alexander Nanta Linggi
MALAYSIA perlu kembali kepada pendekatan politik yang rasional, sederhana dan inklusif bagi memastikan keharmonian serta kestabilan negara terus terpelihara.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha memperkukuh sesuatu komuniti tidak seharusnya menyebabkan masyarakat lain berasa tersisih, terancam atau dinafikan tempat dalam negara.
“Dalam keadaan politik negara yang kadangkala terlalu mudah terheret kepada sentimen kaum dan agama, seruan kepada kesederhanaan, rasionaliti dan keterangkuman adalah sesuatu yang amat dialu-alukan,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.
Alexander Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pendekatan politik inklusif itu turut dapat dilihat melalui pengalaman Sarawak yang menurutnya mengutamakan toleransi, saling menghormati dan keterangkuman.
Beliau berkata, PBB memenangi kesemua 47 kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021, namun kemenangan itu tidak dilihat sebagai alasan untuk memerintah secara bersendirian.
Sebaliknya, katanya, pentadbiran negeri diteruskan melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama SUPP, PRS dan PDP bagi mencerminkan kepelbagaian masyarakat Sarawak.
“Kekuatan tidak semestinya diterjemahkan sebagai penguasaan. Kekuatan juga boleh diterjemahkan melalui perkongsian, keyakinan dan keterangkuman,” katanya.
Dalam pada itu, Nanta berkata, kerajaan perlu diberi ruang untuk memberi tumpuan kepada pemulihan dan pengukuhan ekonomi, kos sara hidup, pelaburan, pekerjaan serta pembangunan rakyat ketika dunia berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik.
Beliau berkata, perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada demokrasi, namun tidak seharusnya membawa kepada politik kebencian yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.
Pada masa sama, katanya, Sabah dan Sarawak perlu dilihat sebagai rakan pembentuk Malaysia dengan sejarah, hak dan sumbangan tersendiri.
“Kita boleh memperjuangkan hak masing-masing tanpa menafikan hak orang lain.
“Kita boleh berbeza dari segi politik tanpa merosakkan keharmonian sebuah negara yang telah dibina bersama selama 63 tahun,” katanya.
Sebelum itu, Alexander mengesahkan tidak akan mempertahan kerusi Parlimen Kapit pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, beliau berhasrat bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu dalam Parlimen Kapit, jika sempat diwartakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.



