
TAWAU – Sebanyak 14 notis saman dikeluarkan manakala dua kenderaan disita dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, antara kesalahan yang dilakukan termasuk tiada cermin sisi, tidak mempunyai nombor pendaftaran mengikut peraturan, pengubahsuaian ekzos, tidak mempunyai lesen memandu kelas B2 dan tidak mempamerkan tanda ‘P’.
“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Fairlady dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk tindakan lanjut.
“Kedua-dua kenderaan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pagi ini untuk tindakan susulan menerusi Operasi Extreme,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, empat kenderaan turut diberikan advokasi sebagai usaha meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan.
“Sepanjang operasi tersebut, pihak polis telah memeriksa sebanyak 80 buah kenderaan membabitkan 30 buah motosikal, 30 buah motokar, 18 buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan dua buah lori.
“Pemeriksaan terhadap 64 individu terdiri daripada 45 lelaki dan 19 perempuan turut dijalankan, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat,” ujarnya.

Tegas Rosdi, Polis Daerah Tawau akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung aktiviti samseng jalanan dan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan demi keselamatan semua pihak.
Terdahulu, operasi yang bermula kira-kira pukul 10.30 malam hingga 2 pagi itu dilaksanakan di kawasan T2 Jalan Apas, One Arena Jalan Chong Thien Vun dan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Batu 2 Jalan Apas.




