
KOTA KINABALU – Perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat dicadang ditingkatkan kepada 35 peratus berbanding 56 kerusi atau 25.3 peratus ketika ini bagi memperkukuh kedudukan dan suara kedua-dua wilayah dalam Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) memulakan libat urus bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan hala tuju serta mekanisme pelaksanaan cadangan itu.

“Perbincangan hari ini memberi tumpuan kepada proses serta pertimbangan perlembagaan, perundangan dan teknikal, termasuk aspek persempadanan bahagian pilihan raya, data yang diperlukan serta bentuk libat urus antara kerajaan, SPR dan pihak berkepentingan.
“Ini bukan semata-mata soal menambah kerusi. Ia berkaitan usaha memastikan kedudukan dan suara Sabah serta Sarawak dalam Parlimen terus diperkukuh selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia dan pelaksanaan MA63,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mustapha mengetuai BHESS mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, bagi membincangkan cadangan berkenaan, pagi tadi.

Tambahnya, BHESS akan terus bekerjasama dengan SPR supaya sebarang tindakan susulan dapat dilaksanakan secara teratur, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta menghormati bidang kuasa SPR.
Pertemuan berkenaan diadakan susulan perkembangan di peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu yang mengambil maklum perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Pada MTPMA63 itu juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan terdapat kewajaran untuk meningkatkan nisbah Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada perbincangan lanjut bersama SPR.







