
PUTRAJAYA – Pasaran buruh Malaysia terus mencatat perkembangan positif dengan jumlah penerima gaji dan upah bulanan meningkat kepada 12.01 juta orang pada 2025 berbanding 11.96 juta orang pada 2024.
Menurut laporan Survei Gaji & Upah, Malaysia, 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, purata gaji dan upah bulanan warganegara Malaysia meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 pada tahun sebelumnya.
Manakala penengah gaji dan upah bulanan turut meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940 berbanding RM2,793 pada 2024.
Daripada jumlah itu, seramai 10.38 juta atau 86.4 peratus merupakan warganegara Malaysia yang bekerja sepenuh masa di sektor awam dan swasta.
Sektor Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama bilangan penerima upah dengan 7.42 juta orang atau 71.5 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji, meningkat 1.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dari segi sektor ekonomi, Perlombongan dan Pengkuarian mencatatkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi pada RM6,175.
Ia diikuti sektor Perkhidmatan dengan RM3,993, Pembuatan (RM3,357), Pembinaan (RM3,188) dan Pertanian (RM2,575).
Berdasarkan kategori kemahiran, pekerja mahir yang merangkumi 36.6 peratus daripada keseluruhan penerima gaji merekodkan purata gaji bulanan tertinggi, iaitu RM5,799 berbanding RM5,582 pada 2024.
Sementara itu, pekerja separuh mahir yang mewakili 55.6 peratus penerima gaji mencatatkan purata gaji RM2,714, meningkat 4.2 peratus daripada RM2,604 pada tahun sebelumnya.
Pekerja berkemahiran rendah pula merekodkan peningkatan 2.6 peratus kepada RM2,184 berbanding RM2,128 pada 2024.
Mengikut jantina, lelaki merangkumi 6.08 juta atau 58.6 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji warganegara Malaysia.
Purata gaji dan upah bulanan lelaki meningkat 4.3 peratus kepada RM3,921, manakala perempuan mencatatkan peningkatan 3.9 peratus kepada RM3,635.
Dari segi taburan negeri, Selangor merekodkan sumbangan penerima gaji tertinggi, iaitu 25.6 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji warganegara Malaysia.
Ia diikuti Johor sebanyak 13.6 peratus dan Sarawak 7.6 peratus.
Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi pada RM5,417, diikuti Kuala Lumpur RM4,955 dan Selangor RM4,258.
Tiga lagi negeri atau wilayah yang merekodkan purata gaji melebihi paras nasional ialah Pulau Pinang sebanyak RM3,912 dan Labuan RM3,887.
DOSM berkata, peningkatan positif purata serta penengah gaji dan upah bulanan pada 2025 mencerminkan perkembangan lebih baik dalam pasaran buruh dan pendapatan pekerja.
Menurutnya, usaha meningkatkan produktiviti, memperkukuh kemahiran dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi perlu diteruskan bagi menyokong pertumbuhan gaji benar yang mampan serta kesejahteraan pekerja.
Langkah itu juga selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk membangunkan tenaga buruh yang berdaya saing dan produktif serta memperkukuh reformasi pasaran buruh.








