
KOTA KINABALU – Penambahbaikan kelayakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang tidak lagi terikat sepenuhnya kepada pemilik berdaftar merupakan langkah positif kerana lebih menepati realiti penggunaan kenderaan di Sabah dan Sarawak.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Dr Jain Yassin berkata, perubahan itu membolehkan subsidi dinikmati pengguna sebenar yang menggunakan kenderaan serta menanggung kos bahan api.
“Melalui perubahan ini, pemilik tidak lagi terbeban sekiranya kenderaan digunakan oleh orang lain kerana subsidi boleh dipindahkan kepada pengguna sebenar.
“Pendekatan ini mengambil kira realiti ekonomi dan struktur pemilikan kenderaan di Sabah dan Sarawak.
“Bagaimanapun, peluasan kelayakan itu juga perlu mengambil kira penggunaan kenderaan bagi menyediakan perkhidmatan kepada komuniti,” ujarnya kepada The Malaysia Press pada Isnin.
Menurut Jain, penggunaan kenderaan diesel khususnya di kawasan luar bandar Sabah bukan semata-mata disebabkan pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan berikutan kekurangan pengangkutan awam dan jarak kemudahan asas yang jauh.
“Di kawasan pedalaman seperti Ulu Sugut di Ranau dan Kampung Ruminding di Inanam, perkhidmatan ‘kereta sapu’ menjadi antara pilihan penduduk walaupun ada pengendalinya tidak berdaftar secara rasmi sebagai pengangkutan awam.
“Mereka mungkin bukan pemilik berdaftar atau pengendali pengangkutan awam yang sah, tetapi menggunakan kenderaan berkenaan setiap hari serta menanggung kos bahan api untuk menyediakan kemudahan mobiliti kepada komuniti.
“Penggunaan diesel mereka pastinya tinggi kerana perjalanan melibatkan jarak jauh dan keadaan geografi yang mencabar.
“Justeru, apabila kita bercakap mengenai pengguna sebenar, realiti pengangkutan komuniti seperti ini juga perlu diberikan pertimbangan,” katanya.
Tambahnya, kemudahan mobiliti amat penting bagi membolehkan penduduk keluar bekerja, mendapatkan barangan dan perkhidmatan, membawa hasil kampung ke pasaran serta mengakses kemudahan asas.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif untuk rakyat Sabah dan Sarawak ketika Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak, pada 16 September lalu.
Antaranya, kemudahan pemindahan kelayakan BUDI Diesel diperluas kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak dan tidak lagi terhad kepada ahli keluarga terdekat.
Pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel turut dibenarkan memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan kepada maksimum tiga kenderaan, berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri turut mengumumkan Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan secara sekali beri sebanyak RM500 kepada 7,092 pelajar baharu yang layak bagi sesi kemasukan September hingga Oktober 2026.
Bantuan itu melibatkan pelajar baharu universiti awam, politeknik dan kolej komuniti yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk memulakan pengajian.
Kerajaan turut mengumumkan pemberian khas interim berjumlah RM1.5 bilion kepada Sarawak, sementara rundingan mengenai kadar pemberian khas itu diteruskan. Sebelum itu, pemberian khas interim dengan jumlah sama diumumkan untuk Sabah.





