WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pembinaan gerbang kemenangan berhampiran Washington akan turut berfungsi sebagai ‘kompleks ketenteraan’.
Ia akan menempatkan dron dan penembak tepat, menjadikannya projek pembinaan kedua berskala besar yang cuba dipertahankan Trump atas alasan keselamatan negara, bagi menangkis bantahan umum.
Trump berkata, cadangan itu dibuat atas permintaan pihak tentera, sekali gus mengulangi alasan keselamatan negara yang digunakannya bagi mempertahankan pembinaan kompleks dewan tari-menari bernilai kira-kira AS$400 juta (RM1.63 bilion) di tapak bekas Sayap Timur Rumah Putih.
Bagaimanapun, dia tidak menyatakan sebarang ancaman khusus yang mendorong keperluan berkenaan.
Gerbang dan kompleks dewan tari itu adalah sebahagian daripada usaha lebih besar Trump untuk mengubah wajah ibu negara.
Antaranya termasuk pengubahsuaian Kolam Pantulan Memorial Lincoln, pembangunan semula padang golf di East Potomac Park serta usaha menambah namanya pada Pusat Seni Persembahan John F Kennedy.
Inisiatif itu mendapat kritikan daripada kumpulan pemuliharaan dan pihak lain yang berpendapat ia akan mengubah beberapa mercu tanda bersejarah paling terkenal di Washington.
Dalam hantaran di media sosial, Trump berkata, dia bersetuju, atas desakan kuat pihak tentera, untuk menjadikan gerbang setinggi 76 meter yang dirancang itu sebagai ‘Kompleks Ketenteraan/Gerbang Kemenangan bertaraf tinggi’.
Katanya, kompleks itu akan digunakan untuk menempatkan, menyimpan serta membolehkan penggunaan pantas sejumlah besar dron, selain penembak tepat di atas bumbung dan kawasan plaza, serta menyimpan sejumlah besar peluru selain penembak tepat.
Seorang pegawai tentera AS memberitahu Reuters, Jabatan Pertahanan AS tidak mempunyai sebarang maklumat tambahan selain hantaran Trump itu.
Rumah Putih pula tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan komen.






