
SUBANG JAYA – Sebanyak 426 bangkai tikus berjaya dikutip dalam operasi pembersihan yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sekitar kawasan SS15, semalam.
MBSJ berkata, operasi berkenaan susulan tindakan penaburan racun tikus yang dilaksanakan pada 18 September di beberapa lokasi yang dikenal pasti.
“Operasi Mengutip Bangkai Tikus dilaksanakan pada 19 September 2026 dan sebanyak 426 ekor bangkai tikus berjaya dikutip,” menurut MBSJ menerusi kenyataan di media sosial.
Operasi itu turut disertai Ahli Majlis MBSJ Zon 1, Chia Yew Ken bersama wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 1 yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja kutipan bangkai tikus.
Menurut MBSJ, usaha berkenaan akan terus dipergiat menerusi pengurusan kebersihan dan kawalan persekitaran secara berterusan.
Langkah itu bagi memastikan aspek kesejahteraan dan kesihatan awam komuniti di sekitar SS15 sentiasa terpelihara.
MBSJ turut mengajak komuniti bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran bagi membantu memastikan kawasan kediaman dan awam kekal bersih serta selamat.






