
SIBU – Isu kekurangan dan jurang kepakaran tenaga pengajar antara sekolah di Sarawak berpotensi ditangani menerusi penggunaan teknologi digital yang membolehkan guru berkemahiran khusus berkongsi kepakaran dengan pelajar di sekolah lain secara silang lokasi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pendekatan berkonsepkan ‘master classroom‘ itu sedang diteroka secara serius, terutamanya bagi menampung keperluan pengajaran mata pelajaran kritikal seperti Sains dan Matematik.
Jelas beliau, inisiatif berkenaan mampu menghubungkan guru beropsyen khusus dengan murid di sekolah-sekolah yang kekurangan pakar dalam subjek tersebut, sekali gus mewujudkan peluang pembelajaran yang lebih seimbang.
“Pendekatan ini akan memperkukuh kesaksamaan pendidikan supaya murid di seluruh Sarawak mempunyai peluang menikmati kualiti pembelajaran yang sama tanpa mengira lokasi geografi sekolah mereka,” katanya ketika berucap pada majlis The Commemoration of Sibu Digital Innovation Hub Expansion pada Jumaat.

Menurut Dr Annuar, perbincangan awal bersama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) berhubung penerokaan konsep tersebut telah dimulakan.
Dalam masa sama, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) turut dipertanggungjawabkan untuk memperhalusi kaedah pelaksanaannya agar selari dengan keperluan semasa ekosistem pendidikan negeri.
Tambah beliau, kerjasama strategik merangkumi SDEC, Hab Inovasi Digital (DIH) Sibu dan UTS juga dilihat mampu merancakkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) melalui penyampaian kandungan yang lebih meluas dan interaktif.
Menyentuh mengenai majlis peluasan operasi DIH Sibu, beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai satu lonjakan penting dalam memperkukuh ekosistem digital setempat, khususnya dalam memacu program inovasi, pembangunan kemahiran digital, serta menyokong keusahawanan komuniti.
Untuk rekod, sejak mula beroperasi pada 2022, DIH Sibu telah berjaya menghimpunkan lebih 3,630 peserta menerusi 157 sesi latihan komprehensif dengan mendapat bimbingan lebih daripada 90 jurulatih profesional.
Foto: Facebook YB Annuar Rapaee




