Dr Fuziah Salleh
KUANTAN – PKR sedia untuk bertembung dengan mana-mana parti dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, buat masa ini belum ada ketetapan berkaitan kerjasama dengan mana-mana gabungan bagi tujuan PRN di Melaka.
“Setakat ini belum ada ketetapan dengan (PRN) Melaka, bagi PKR lawan tetap lawan… apa saja ‘outcome’ berkaitan kerjasama di Melaka, kita bersedia untuk lawan,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merasmikan Program MADANI Kita bersama-sama komuniti Sungai Isap Damai, dekat Kuantan.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Mohd Hisyamuddin Ghazali.
Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah ketika ditanya mengenai khabar angin kononnya Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka, menjelaskan perkara itu hanya khabar angin semata-mata.
“Setakat ini, kalau tidak ada pengumuman, maknanya tidak adalah,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim dilaporkan berkata, pihaknya sedia meneroka kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN di negeri berkenaan.
Katanya, perkembangan itu berlatarkan cakap-cakap mengenai penjajaran semula politik antara Pas dan sekutunya dalam Perikatan Nasional dengan Barisan Nasional.
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai pelancaran tabung khas untuk mengumpul RM50 juta bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman tahanan di rumah, Fuziah memaklumkan ia adalah urusan dan hak Umno.
“Dulu kita (PH) buat tabung (Tabung Harapan) untuk selamatkan negara, yang itu (tabung Najib) kena tanya Umnolah,” jelasnya.

