
KUALA LUMPUR, 19 Sept — Empat belas pertubuhan masyarakat sivil menggesa semua dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Tun Razak didedahkan sepenuhnya, dengan menegaskan ketelusan penting bagi memelihara keyakinan awam terhadap kedaulatan undang-undang.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kumpulan itu berkata, dokumen berkenaan termasuk representasi bertulis Peguam Negara dan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Kesemua NGO tersebut berpandangan rakyat berhak mengetahui alasan dan pertimbangan di sebalik keputusan berkenaan, khususnya susulan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Kumpulan berkenaan turut membangkitkan persoalan mengenai asas perundangan tahanan rumah melalui pengampunan dan meminta penjelasan berhubung pelaksanaannya dalam ruang lingkup Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut mereka, keputusan berkepentingan awam perlu dibuat secara telus bagi membolehkan rakyat memahami alasan dan pertimbangan yang digunakan dalam membuat keputusan tersebut.
Kenyataan itu turut menyeru supaya pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penggubalan akta pemberi kuasa berkaitan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Kenyataan bersama itu disokong Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Engage (citizens in action), Gabungan Bertindak Malaysia, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Iman Research dan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).
Turut menyokong ialah Lawyer Kamek, Liga Rakyat Demokratik, Muslim Professional Forum (MPF), Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (PPDM/ROSE), Pertubuhan Ikram, Rasuah Busters dan Suara Mahasiswa UMS.





