
KOTA KINABALU – Empat projek menaik taraf jalan di kawasan Parlimen Sepanggar yang telah mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi disasarkan dapat disiapkan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, projek berkenaan melibatkan beberapa kawasan yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan kemudahan jalan bagi memudahkan pergerakan penduduk dan trafik.
“Pada pagi ini kita ambil ruang dan masa untuk melawat. Ada empat projek yang telah dibawa kepada Kementerian Ekonomi dan telah pun diluluskan. Jadi kita melawat ke empat-empat tapak.
“Pertama, di Taman Kuala Menggatal. Kedua, di Kampung Keliangau. Ketiga, di Kampung Kemberian dan akhirnya di Kampung Inanam Laut.
“Jadi jalan-jalan ini perlu diperbaiki dan dinaik taraf untuk memudahkan pergerakan trafik di kawasan-kawasan ini,” katanya ketika ditemui wartawan TMP di sini, pada Sabtu.

Mustapha berkata, kawasan kritikal dikenal pasti dengan mengambil kira pandangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua kampung supaya projek yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan penduduk setempat.
“Proses seterusnya adalah melibatkan sebut harga dan pelantikan kontraktor bagi membolehkan kerja menaik taraf dilaksanakan.
“Saya mahu supaya projek ini dapat disiapkan tahun ini juga sebab penduduk kampung sedang menunggu lama untuk jalan-jalan mereka diperbaiki,” tegasnya.
Tambahnya, pelaksanaan projek berkenaan penting bagi memastikan kemudahan infrastruktur asas di kawasan berkenaan dapat ditambah baik sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya.




