
TAWAU – Hasrat seorang wanita berumur 19 tahun untuk membaiki telefonnya bertukar tragedi selepas mendakwa dia dirogol jirannya yang juga seorang tukang gunting rambut di sebuah kediaman Projek Perumahan Rakyat, di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek berumur 24 tahun itu berjaya diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira pukul 10 malam di kediamannya, pada Khamis.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu selepas mangsa mendakwa dirogol oleh suspek yang dikenalinya.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 10 malam selepas mangsa membenarkan suspek masuk ke kediamannya untuk membantu membaiki telefon bimbit miliknya.
“Suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke bilik sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh,” ujanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut secara menyeluruh masih dijalankan.
Dalam pada itu, Rosdi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak membenarkan individu masuk ke dalam rumah sesuka hati, walaupun mereka adalah jiran atau kenalan, khususnya ketika bersendirian.
“Pastikan keselamatan diri diutamakan dan elakkan berada bersendirian dengan individu yang boleh menimbulkan risiko.
“Sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tegasnya.




