
TAWAU – Penambahbaikan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) disambut baik pengguna khususnya mereka yang tinggal jauh dari bandar dan perlu menanggung penggunaan bahan api yang tinggi bagi urusan harian serta perjalanan jarak jauh.
Seorang penduduk Kalabakan, Siti Fatimah Untai, 39, menyifatkan langkah pemindahan kelayakan BUDI Diesel berkenaan memberi lebih fleksibiliti kepada pemilik dan pengguna sebenar kenderaan.
“Bagi saya, ini memang bagus sebab kami di Kalabakan tinggal jauh, jadi penggunaan minyak kereta memang tinggi terutama mereka yang menggunakan pacuan empat roda.
“Ada golongan yang tidak mampu membuat pinjaman kereta jadi mereka memilih untuk menggunakan kenderaan secara sambung bayar.
“Alhamdulillah baru-baru ini juga BUDI Diesel dan RON95 dinaikkan, jadi bila kelayakan BUDI Diesel boleh dipindahkan kepada pengguna sebenar, memang sangat membantu,” ujarnya kepada wartawan The Malaysia Press, pada Khamis.

Bagi Era Nadzirah Jifrin, 31, langkah itu turut membantu menyelesaikan masalah pemilik kenderaan yang menggunakan kereta berdaftar atas nama orang lain yang tinggal jauh dan bukannya ahli keluarga.
“Masalah timbul apabila penama kenderaan yang menerima BUDI Diesel ialah orang lain sedangkan individu itu tinggal di luar daerah dan sukar untuk menggunakan kad pengenalannya bagi urusan berkenaan.
“Oleh itu penambahbaikan ini lebih praktikal dan dapat memberi manfaat kepada penerima yang layak,” kongsinya.
Sementara itu, Khairul Anwar Junus, 34, berpendapat agar jumlah BUDI Diesel perlu ditambah bagi memastikan manfaat subsidi dapat dirasai dengan lebih meluas oleh pengguna yang mempunyai beberapa kenderaan.
“Jumlah BUDI Diesel perlu ditambah kerana pindahan kelayakan hanya menjadikan jumlah tersebut semakin sedikit untuk dirasai oleh ahli keluarga selain digunakan untuk tiga kenderaan.
“Oleh itu saya mencadangkan agar jumlah dapat dinaikkan lagi kepada 600 liter atau lebih tinggi, menjadikan setiap kenderaan boleh menikmati 200 liter bagi setiap kenderaan,” katanya.






