
KUCHING – Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan pada masa hadapan disaran agar diraikan secara bergilir-gilir di setiap negeri di seluruh negara bagi memupuk semangat perpaduan nasional yang lebih utuh.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain penggiliran lokasi penganjuran, sejarah serta latar belakang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga wajar diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengisian utama sambutan.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memberikan kefahaman yang lebih menyeluruh kepada masyarakat di seluruh pelosok negara mengenai sejarah sebenar pembentukan Malaysia.
“Pendekatan tersebut mampu menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman rakyat terhadap sejarah negara, sekali gus memupuk semangat perpaduan nasional yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri mahupun wilayah,” ujar beliau menerusi hantaran Facebook rasmi pada Khamis.
Pandangan dan aspirasi tersebut dizahirkan oleh Tun Pehin Sri Wan Junaidi bersempena dengan keberangkatannya menyempurnakan malam kemuncak Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu malam.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan Hari Malaysia bukan sekadar suatu catatan sejarah, sebaliknya merupakan peringatan kepada seluruh rakyat mengenai semangat persefahaman, perkongsian tanggungjawab, dan sikap saling menghormati yang menjadi teras pembentukan negara pada 16 September 1963.
Justeru, beliau berharap semangat serta prinsip yang terkandung dalam MA63 terus dihormati dan diterjemahkan melalui kerjasama yang erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak dengan kerajaan Sabah.
Sinergi ini, tegasnya, amat penting bagi memastikan pembangunan yang seimbang, kemakmuran yang inklusif, serta kesejahteraan seluruh rakyat dapat dicapai.
Terdahulu, keberangkatan tiba beliau di majlis yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ itu turut diiringi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Foto: Jabatan Penerangan Malaysia





