
KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah terus memperkukuh kesatuan anggota serta memperkemas persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, perkara itu antara yang disentuh dalam pertemuan singkat bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah bagi bertukar pandangan serta membincangkan beberapa isu semasa, khususnya berkaitan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Setiap dasar dan ikhtiar yang digerakkan kerajaan perlu dipastikan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, selain terus memberi perhatian kepada kepentingan dan aspirasi masyarakat di negeri ini.
“Parti juga mesti bergerak dengan kekuatan seluruh anggota, merapatkan saf dan merangkul sokongan semua lapisan masyarakat agar kita kekal dekat dengan denyut nadi serta aspirasi rakyat,” kongsinya menerusi hantaran di laman media sosial beliau, pada Khamis.
Menurut Anwar, kesatuan seluruh anggota parti penting bagi memastikan PKR terus dekat dengan rakyat serta mampu membawa suara dan aspirasi mereka.
Pada masa sama, beliau berkata, persiapan jentera PKR bagi menghadapi PRU akan datang perlu diperkemas dari sekarang.
Beliau berharap PKR Sabah akan terus menjadi kekuatan yang membawa suara rakyat serta menjayakan agenda perubahan dan reformasi.
“Insya-Allah, PKR Sabah akan terus menjadi kekuatan yang membawa suara rakyat serta menjayakan agenda perubahan dan reformasi,” ujarnya.






