TAWAU – Tiga sekeluarga maut, manakala seorang remaja perempuan cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebatang pokok kelapa sawit di Batu 14, Jalan Apas, di sini, kira-kira pukul 9.30 pagi, pada Selasa.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut ialah seorang wanita berumur 50 tahun bersama dua anak lelakinya masing-masing berumur 30 dan 28 tahun, manakala anak perempuan mereka yang berumur 15 tahun terselamat tetapi mengalami kecederaan serius pada bahagian tulang rusuk dan perut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari Kampung Bahagia, Sandakan menuju ke bandar Tawau.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus sebelum kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan yang berumput.
“Kenderaan berkenaan kemudian merempuh sebatang pokok kelapa sawit sebelum terseret sejauh kira-kira 60 meter, lalu terbalik dan berhenti,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan pada pukul 10.16 pagi.
“Pemeriksaan awal turut mendapati pemandu kenderaan berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala kereta terbabit ditahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.



