
KUCHING – Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) dan Plaza Merdeka Management Sdn Bhd (Plaza Merdeka) memeterai kerjasama strategik melalui pemeteraian Surat Niat (LoI) bersempena dengan penganjuran pameran iPROTECH 2026 pada Selasa.
Pemeteraian yang disempurnakan oleh Pengarah KKMG, Esstree Ishak dan Eksekutif Kanan Pemasaran dan Komunikasi Plaza Merdeka, Leovell Sam Avenido itu menyediakan kerangka kolaborasi merangkumi perkongsian kepakaran, inovasi serta tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Pemeteraian kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting bagi Kolej Komuniti Mas Gading dalam mengukuhkan hubungan dengan pihak industri,” katanya.
Selain sokongan penyediaan ruang pameran oleh Plaza Merdeka, program iPROTECH 2026 itu turut mempertontonkan 17 reruai projek yang dibangunkan oleh pelajar tahun akhir daripada kursus Teknologi Maklumat dan Landskap KKMG.
Hubungan dua hala ini diharap dapat memberikan pendedahan industri yang lebih luas kepada pelajar untuk mengasah kemahiran komunikasi dan pembentangan sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.




