JASIN – Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai berharap sebuah pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dapat diwujudkan bagi memudahkan urusan masyarakat setempat.
Kemudahan itu dilihat mampu menyediakan akses lebih dekat kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekali gus mengurangkan keperluan penduduk untuk berulang-alik ke kawasan lain bagi mendapatkan perkhidmatan berkenaan.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Pak Mail berkata, penyediaan pusat sehenti sedemikian penting bagi memastikan masyarakat di kawasan luar bandar turut menikmati kemudahan perkhidmatan kerajaan yang lebih mudah dan menyeluruh.
“Kita mahu ada satu pusat yang menghimpunkan pelbagai agensi supaya orang kampung mudah berurusan. Antaranya perkhidmatan JPJ dan agensi lain yang diperlukan masyarakat.
“Kalau semua perkhidmatan dapat ditempatkan di satu lokasi, ia sudah tentu memudahkan urusan penduduk,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) di sini, hari ini.
Dia berkata, pembangunan kemudahan awam di kawasan itu juga perlu diberi perhatian, terutama membabitkan infrastruktur jalan raya dan lampu jalan yang masih memerlukan penambahbaikan.
“Pembangunan di sini agak terpinggir dan tidak serata dengan kawasan bandar lain. Ada kawasan yang masih gelap pada waktu malam sehingga penduduk berasa bimbang untuk keluar masuk.
“Kita harap perkara seperti ini diberi perhatian kerana ia membabitkan keselamatan penduduk,” katanya.
Selain itu, Pak Mail berharap cadangan menjadikan Sungai Rambai sebagai daerah kecil yang sudah beberapa kali dikemukakan dapat diberikan perhatian bagi merancakkan pembangunan kawasan itu.
“Permohonan itu sudah dibuat beberapa kali, tetapi sehingga kini masih belum dapat diselesaikan. Kita harap ada usaha untuk merealisasikannya kerana ia boleh membantu membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan ini,” katanya.
Justeru, dia berharap pembangunan lebih menyeluruh dan terancang dapat dilaksanakan bagi memastikan penduduk Sungai Rambai turut menikmati kemudahan serta perkhidmatan kerajaan yang lebih baik.

