
KUCHING – Kawasan Lundu di Sarawak mencatatkan kualiti udara pada tahap berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 331 setakat jam 10 pagi ini.
Berdasarkan laporan cuaca panas yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kualiti udara di enam kawasan lain turut merosot ke tahap sangat tidak sihat.
Kawasan yang terjejas teruk tersebut merangkumi Serian dengan rekod IPU 298, diikuti oleh Kuching (252), Tebedu (246), Sri Aman (232), Samarahan (230) dan Lubok Antu (211).

Dalam perkembangan yang sama, sebanyak 10 kawasan lain mencatatkan kualiti udara tidak sihat dengan kadar bacaan kepekatan zarah PM2.5 masing-masing berada dalam julat 103 hingga 189.
Sementara itu, hanya tiga lokasi yang merangkumi Kapit, Limbang dan Bario didapati kekal stabil apabila merekodkan status bacaan kualiti udara pada paras sederhana.




