
KOTA KINABALU – Pelajar yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran baru-baru ini akan ditempatkan sementara di asrama bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terganggu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, cadangan itu antara langkah awal dibincangkan bersama Jabatan Pendidikan bagi membantu pelajar terjejas, termasuk mereka yang kini masih tinggal di khemah dan masjid.
“Saya dimaklumkan cadangan awal daripada Jabatan Pendidikan, kita akan cuba dapatkan jika ada asrama yang kosong.
“Walaupun bukan di sekolah mereka, itu antara cadangan yang perlu diteliti. Kita mahu mereka diberikan keutamaan supaya proses pembelajaran tidak terganggu,” katanya semasa ditemui media selepas menyantuni pelajar yang terjejas akibat kebakaran membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kebagu dan Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, di sini pada Isnin.

Mustapha berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain pelajar Tingkatan Enam yang memerlukan persekitaran kondusif untuk meneruskan pembelajaran.
“Pelajar terbabit memerlukan konsentrasi lebih dan perlu diberi keutamaan supaya proses pembelajaran mereka tidak terganggU.
“Seramai sembilan pelajar Kolej Tingkatan Enam terjejas menerima bantuan kecemasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebanyak RM300 setiap seorang.
“Ini memang bantuan khas daripada KPM untuk mana-mana pelajar yang menjadi mangsa kebakaran,” kongsinya.

Tambah Mustapha, selain bantuan kewangan, pihak sekolah turut menyediakan beg dan alat tulis serta membuka bilik trauma dan kaunseling bagi membantu pelajar yang terjejas.
Tambahnya lagi, pihaknya juga meminta Jabatan Pendidikan dan pengurusan sekolah meneliti keperluan lain pelajar terbabit bagi membolehkan bantuan susulan diselaraskan.
Katanya, Menteri Pendidikan dijadual turun ke Sabah pada 10 September untuk meneruskan bantuan, manakala Perdana Menteri turut dijangka menyantuni mangsa kebakaran.




