
LAHAD DATU – Jentera Gagasan Rakyat Lahad Datu diseru sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan turun padang mendekati masyarakat sebagai persediaan mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lahad Datu, Ir. Rajesh Yusof berkata, PRU itu turut dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh kedudukan GRS di Lahad Datu.
“Kita perlu turun padang, menyantuni masyarakat dan memastikan parti bergerak tanpa masalah, kekacauan atau pertelingkahan.
“Soal pemilihan calon Parlimen hendaklah diserahkan kepada Presiden dan pucuk pimpinan parti bagi menentukan calon yang benar-benar mempunyai kemampuan memenangi kerusi berkenaan,” katanya selepas Mesyuarat Bahagian Gagasan Rakyat Parlimen Lahad Datu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jawatankuasa penaja baharu menjadi langkah penting untuk menyatukan kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan termasuk memperkemas gerak kerja parti.
“Kasih sayang, perpaduan dan keharmonian perlu menjadi tunjang kepimpinan supaya semua anggota parti dapat bergerak sebagai satu pasukan.
“Kita perlu merapatkan semua ketua, bukan sahaja dalam Gagasan Rakyat tetapi juga dalam komponen GRS serta rakan kerjasama kita.
Tambahnya, kekuatan Gagasan Rakyat perlu dibina dari dalam dengan memastikan sebarang perbezaan pandangan diselesaikan menerusi saluran yang betul tanpa menjejaskan hubungan sesama anggota.
“Kita mulakan lembaran baharu, perkuatkan parti dan buktikan kepada pucuk pimpinan bahawa kita mampu bergerak sebagai satu pasukan,” tegasnya.




