SPRM sedia siasat peruntukan RM180,000 ADUN Negeri Sembilan PH

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menyiasat dakwaan penyalahgunaan peruntukan RM180,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang diluluskan sehari sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan boleh dilakukan sekiranya terdapat laporan beserta bukti yang menunjukkan berlaku penyalahgunaan peruntukan atau kesalahan di bawah undang-undang.

Bagaimanapun, buat masa ini, SPRM tidak melihat sebarang isu berhubung tindakan itu kerana kerajaan yang sah mempunyai hak untuk memperkenalkan sebarang dasar atau meluluskan peruntukan selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau kerajaan itu kerajaan yang sah, tiada masalah untuk kerajaan membuat sesuatu dasar atau peruntukan, asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Abd Halim menjelaskan, sekiranya peruntukan itu benar-benar diumumkan sehari sebelum pembubaran DUN, kerajaan ketika itu masih kerajaan yang sah dan mempunyai kuasa untuk membuat dasar serta keputusan berkaitan peruntukan.

Beliau berkata, perkara itu berbeza dengan tindakan kerajaan sementara yang tidak sepatutnya memperkenalkan dasar baharu yang akan mengikat kerajaan selepas pilihan raya.

“Keadaan berbeza sekiranya peruntukan atau dasar baharu dibuat selepas DUN dibubarkan ketika kerajaan berada dalam tempoh kerajaan sementara.

“Kerajaan sementara tidak boleh membuat dasar baharu atau memberikan peruntukan yang boleh mengikat kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya.

“Jika seandainya peruntukan itu diisytiharkan ataupun diberikan di dalam waktu kerajaan sementara (caretaker government) iaitu selepas DUN dibubarkan, itu berbeza.

“Kerajaan sementara tidak boleh membuat sesuatu polisi baharu bagi mengikat kerajaan yang akan datang,” katanya.

Pada 26 Ogos lalu, 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN di Negeri Sembilan diarahkan memulangkan semula sebahagian peruntukan yang diterima bagi Ogos dan September.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, sebelum ini berkata, kerajaan negeri sebelum itu telah meluluskan peruntukan berkenaan pada 3 Jun dan dana disalurkan pada 4 Jun, sehari sebelum DUN dibubarkan.

Setiap anggota Exco menerima RM225,000 bagi tempoh tiga bulan merangkumi RM180,000 untuk kebajikan awam dan RM45,000 bagi pusat khidmat DUN.

Daripada jumlah itu, RM75,000 bagi Julai boleh digunakan, manakala baki RM150,000 bagi Ogos dan September perlu dipulangkan.

Sementara itu, 10 ADUN PH biasa masing-masing menerima RM174,000 bagi tempoh tiga bulan, membabitkan RM45,000 sebulan untuk kebajikan awam dan RM13,000 bagi pusat khidmat DUN.

Dua penyelaras DUN pula masing-masing menerima RM150,000 bagi tempoh tiga bulan dan keseluruhan jumlah itu perlu dipulangkan.

Keputusan berkenaan bertujuan memastikan penggunaan wang negeri mematuhi status penerima selepas pembubaran DUN, selain menjamin ketelusan serta integriti kewangan kerajaan negeri.

Pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan surat tuntutan bayaran balik dan penerima diberi tempoh 30 hari untuk memulangkan wang berkenaan.

Related Posts

Jika UMNO pilih PN, PH perlu perluas ‘khemah besar’ – Faiz

PAKATAN HARAPAN (PH) perlu memperluaskan konsep ‘khemah besar’ dengan mencari rakan politik baharu sekiranya UMNO memilih memperkukuh kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). Menurut Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, PH…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Parti KDM bukan ahli GRS, sokongan wakil rakyat lebih penting – Hajiji

KOTA KINABALU – Tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menarik sokongan tidak menjejaskan kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), memandangkan Parti KDM bukan parti komponen gabungan itu. Ketua Menteri Sabah, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sarawak perkasa kontraktor Bumiputera seiring peralihan sektor ekonomi hijau

Sarawak perkasa kontraktor Bumiputera seiring peralihan sektor ekonomi hijau

Masyarakat Mukah digesa waspada, elak pembakaran terbuka susulan jerebu

Masyarakat Mukah digesa waspada, elak pembakaran terbuka susulan jerebu

Polis tahan dua individu tempatan, rampas dadah lebih RM412,000

Polis tahan dua individu tempatan, rampas dadah lebih RM412,000

TDM gagalkan cubaan seludup barang basah sejuk beku bernilai RM380,426

TDM gagalkan cubaan seludup barang basah sejuk beku bernilai RM380,426

Petronas sasar kekal keluar 2 juta tong sehari hingga 2028

Petronas sasar kekal keluar 2 juta tong sehari hingga 2028

AS, Iran perlu kembali ke meja rundingan

AS, Iran perlu kembali ke meja rundingan