
SERDANG – Penggunaan teknologi Internet of Things (IoT), sistem pengairan pintar, pengukuhan ekosistem agromakanan, agropelancongan dan amalan pertanian lestari menjadi antara fokus strategik Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penerapan tanaman tahan iklim, amalan hijau serta varieti baharu turut diberi penekanan bagi memastikan sektor pertanian negara kekal berdaya tahan.
“Saya berharap MAHA 2026 akan menjadi lembaran baharu naskhah pertanian negara di mana kita akan mula mengorak langkah memberi penekanan dan tumpuan kepada aspek kelestarian.
“Janganlah kita menganggap kemampanan sektor pertanian dan agromakanan, amalan lestari satu perkara kecil,” katanya, seperti dilaporkan berita tempatan pada Ahad.
Mohamad berkata, amalan pertanian lestari turut mampu membantu negara mengurangkan pelepasan karbon dan menangani kesan pemanasan global, terutama ketika negara berdepan fenomena El Nino.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, MAHA 2026 turut menjadi platform memperkukuh hubungan dan kerjasama antarabangsa menerusi penyertaan delegasi dari 14 negara.
“Antara negara yang mengambil bahagian ialah Amerika Syarikat, Rusia, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Kenya, Uzbekistan, Denmark, Hungary, Belanda, Sepanyol, Thailand dan Palestin,” ujarnya.
Beliau berkata, beberapa persefahaman kerjasama antara negara dijangka dimuktamadkan sepanjang penganjuran MAHA 2026, khususnya dalam bidang agromakanan.
Menurutnya, penyertaan antarabangsa itu turut membuka ruang kepada perkongsian teknologi dan inovasi serta memperluas jaringan kerjasama dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan.
Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan potensi pelaburan sekurang-kurangnya RM8 bilion menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) sepanjang MAHA 2026.
Mohamad berkata, kira-kira RM4 bilion daripada jumlah berkenaan dijangka datang dari China.
“Dari segi MoU yang kita dah ada 121 yang merangkumi pelbagai aktiviti kerjasama termasuklah pertukaran teknologi dan pelaburan,” katanya.
Untuk rekod, MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September 2026 dengan menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer dan tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’.





