
KUALA LUMPUR – Isu pengharaman judi berlesen terhadap bukan Islam di Kedah tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Kerajaan MADANI, kata Dr Muhammad Faiz Na’aman.
Beliau yang juga Ahli PKR mendakwa desakan berkenaan bukan semata-mata berkaitan kepentingan agama, sebaliknya boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan serta Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, Kementerian Kewangan (MoF) tertakluk kepada bidang kuasa dan mandat yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara dan tidak boleh membuat keputusan di luar ruang lingkup kuasa yang diperuntukkan.
“MoF, tidak kiralah siapa Menteri Kewangan, beroperasi wajib mengikut mandat kuasa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“MoF tidak boleh sesuka hati membuat keputusan di luar ruang lingkup itu, termasuk melanggar keputusan atau arahan mahkamah jika ada,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Faiz berkata Perlembagaan Persekutuan telah menjadi kerangka asas negara sejak pembentukan Malaysia, manakala sebarang penggubalan akta dan pindaan undang-undang perlu melalui proses Parlimen mengikut peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata perkara sama terpakai kepada semua Ahli Parlimen daripada blok kerajaan mahupun pembangkang yang mengangkat sumpah untuk menjalankan tanggungjawab dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kerangka berkenaan turut merangkumi kedudukan Raja-Raja Melayu serta Islam sebagai agama Persekutuan yang dilindungi melalui peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan dakwaan bahawa Perdana Menteri menghalalkan perjudian kepada umat Islam hanya kerana lesen perjudian dikeluarkan kerajaan Pusat sebagai tuduhan serius yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Menuduh PM, yakni Menteri Kewangan, kononnya menghalalkan judi atas alasan lesen judi dikeluarkan oleh MoF merupakan fitnah tahap takfiri yang cukup serius sedang dimainkan oleh pihak yang fanatik kepada Menteri Besar Kedah,” katanya.
Faiz turut menegaskan bahawa kuasa berkaitan pengeluaran lesen berkenaan telah wujud sebelum pentadbiran Kerajaan MADANI dan bukan diperkenalkan oleh kerajaan ketika ini.
Katanya, pengeluaran lesen bagi aktiviti perjudian yang dibenarkan undang-undang adalah berkaitan hak warganegara bukan Islam, selain menyumbang kepada hasil cukai negara yang turut disalurkan kepada negeri melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Beliau pada masa sama mempersoalkan sama ada isu judi berlesen merupakan masalah utama yang dihadapi masyarakat Islam di Kedah.
“Apakah selama ini ramai benar Melayu-Islam negeri Kedah terjebak dalam gejala berjudi di premis berlesen? Apakah selama ini tiada penguatkuasaan syariah anti judi terhadap umat Islam di Kedah?” katanya.
Faiz turut menggesa perhatian diberikan kepada isu sosial dan ekonomi lain yang menurutnya lebih dekat dengan kehidupan masyarakat, termasuk penyalahgunaan dadah, ketum, penyeludupan rokok, perlumbaan motosikal haram, penipuan dalam talian serta kekurangan peluang pekerjaan yang setara dengan kelayakan akademik.





